Kamis, 12 Agustus 2010

Mulianya pekerja keras

Amalan bekerja kuat mendatangkan pahala

PADA suatu hari selepas solat Jumaat, Khalifah Umar Khattab bertanya kepada
sekumpulan jemaah yang bersantai pada satu sudut masjid: "Mengapa kamu masih
berada di sini? Mereka menjawab: "Kami adalah orang yang bertawakal kepada
Allah." Mendengar jawapan itu, Umar mengusir mereka keluar dari masjid,
sambil berkata: "Jangan kamu berhenti daripada bekerja untuk mencari rezeki,
sedangkan Dia mengetahui langit belum pernah menurunkan hujan emas atau
hujan perak." Allah berfirman yang bermaksud: "Apabila kamu selesai
mengerjakan solat, bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurnia Allah"
(Surah AI Jumuah: 9). Bertebaranlah di muka bumi bermakna bergerak mencari
rezeki halal, manakala mencari kurnia Allah bermakna bekerja, berkarya dan
berusaha.

Orang beriman dituntut bekerja untuk urusan dunia dengan
bersungguh-sungguh, berjuang sekuat tenaga untuk membangunkan ummah,
meneroka dan memakmurkan kehidupan dunia - dengan niat bukan semata-mata
untuk kepentingan kehidupan di dunia tetapi juga untuk memenuhi tututan di
akhirat.

Orang beriman adalah orang yang menggunakan kehidupan dunia yang bersifat
sementara untuk mendapatkan kebahagiaannya yang abadi di hari akhirat. Dunia
adalah sawah dan tempat bercucuk tanam untuk kehidupan akhirat. Dunia adalah
tempat berhijrah untuk bekerja, beramal dan berkarya sebagai saham
kebahagiaan hidup di akhirat.

Orang beriman sepatutnya dapat menguasai semua bidang ilmu dan kehidupan
dan menggunakannya untuk kepentingan dirinya sama ada di dunia atau di
akhirat. Orang beriman sepatutnya dapat menjadi tuan, penguasa dan pentadbir
kehidupan di dunia bukan hamba.

Menjadi tuan bagi kehidupan dunia bererti menguasai seluruh kekuatan di
dunia dan menjadikannya sebagai faktor mencapai kebahagiaan hidup. Orang
beriman harus bekerja keras tanpa mengenal penat lelah kerana yakin setiap
butir keringat yang keluar menjadi saham pada hari akhirat dan mendapat
pahala yang besar daripada Allah.

Mengimbas kembali kisah Umar mengusir orang malas di masjid, kita dapat
melihat betapa ramai orang yang malas bekerja kerana mereka salah memahami
makna tawakal. Tawakal disalah erti sebagai menyerah pada nasib tanpa
sedikit pun perlu berusaha mengubah nasib.

Orang malas sanggup menyerah pada nasib, berpeluk tubuh, berdiam diri dan
tidak bekerja keras untuk memperbaiki kehidupan mereka. Ungkapan Umar:
"Langit tidak menurunkan hujan emas atau perak." Ungkapan ini cukup
memberikan pengertian kepada kita mengenai makna tawakal. Tawakal bukan
bermakna kita meninggalkan ikhtiar dan usaha mencari sebab musabab yang
ditentukan Allah.

Tawakal bukan bererti kita menyerahkan diri kepada Tuhan dan mengharapkan
supaya Tuhan melakukan sesuatu yang istimewa seperti menurunkan hujan wang
atau emas atau menunggu hidangan lazat turun dari langit, tanpa berusaha dan
menggunakan akal.

Tawakal bererti bekerja dan mencari sebab musabab; melakukan ikhtiar sesuai
dengan sebab dan mengharapkan musabab. Kita menyerahkan diri kepada Allah
selepas berusaha, bekerja dan berikhtiar sekuat tenaga. Selepas berusaha,
kita berdoa dan menyerahkan diri kepada Allah.

Nabi Muhammad pernah membetulkan kesilapan seorang Badwi yang menyalah
tafsir makna tawakal. Badwi itu datang ke masjid untuk menghadap Rasulullah
selepas melepaskan untanya tanpa diikat. Ketika ditanya kenapa dia
membiarkan untanya tidak diikat, dia menjawab dia bertawakal kepada Allah.
Mendengar jawapan itu, Rasulullah bersabda: "Ikatlah untamu, baru kamu
bertawakal. Bertawakal dilakukan selepas kamu berusaha mengikat unta supaya
ia tidak lari, bukan membiarkan unta lepas begitu saja."

Ada juga orang Islam berpendapat tawakal memadai dengan bersantai
berlandaskan hadis: "Kalau kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar
tawakal, Dia akan membantu rezeki sebagaimana Dia memberi rezeki kepada
burung yang berangkat pada pagi hari dengan perut kosong dan kembali ke
sarangnya di petang hari dengan perut kenyang".

Hadis ini tidak bermakna kita boleh bersifat malas, menunggu rezeki jatuh ke
riba dari langit. Sebaliknya, hadis ini menyuruh kita bekerja sekuat tenaga
jika ingin mendapatkan rezeki. Seekor burung mendapat makanan bukan dengan
berdiam diri tetapi selepas berusaha, iaitu keluar dari sarangnya mencari
rezeki terbang ke sana ke mari dari pagi hingga petang.

Islam menyanjung tinggi nilai bekerja dan sangat benci terhadap sifat
malas. Rasulullah menasihati umatnya setiasa berdoa setiap pagi dan petang
supaya menghindari penyakit malas. "Ya Allah lindungi aku daripada sifat
lemah dan malas". Rasulullah bersabda: "Mencari rezeki yang halal adalah
kewajipan bagi setiap Muslim". Dalam hadis lain disebutkan: "Berusaha
mencari rezeki selepas menunaikan solat satu kewajipan selepas kewajiban
solat". Ini bermakna kewajiban bekerja setaraf kedudukannya dengan kewajipan
solat. Disebabkan persamaan kedudukan ini, Allah mengingatkan umat Islam
mengenai kewajipan solat dan bekerja dalam satu ayat dalam surah Al Jumuah
kerana kedua-duanya wajib dilakukan.

Rasulullah menghargai jerih-perih orang bekerja sebagaimana baginda
menghargai mereka yang berjihad ke jalan Allah. Ini terpancar dalam sabda
baginda: "Mencari rezeki halal itu laksana pahlawan yang berjuang di medan
perang dan barang siapa yang tertidur keletihan kerana kerja mencari rezeki
halal, Allah mengampunkan dosanya ketika dia tertidur." Rasulullah bersabda:
"Mencari rezeki halal bagaikan berjihad ke jalan Allah."

Pada suatu hari Rasulullah bersalaman dengan seorang sahabat, Saad ibnu
Muadz. Rasulullah melihat tangan sahabat itu sangat hitam kerana bekerja
keras di bawah terik matahari. Rasulullah bertanya kenapa tangannya hitam?
Saad menjawab: "Tanganku seperti ini kerana aku bekerja mencangkul di kebun
kurmaku untuk menyara keluargaku." Mendengar jawapan demikian, Rasulullah
mencium tangan sahabat itu sambil berkata: "Inilah kedua-dua tangan yang
disukai Allah." Hadis ini dapat disimpulkan bahawa Allah lebih menghargai
tangan yang keras kerana bekerja daripada tangan yang lembut kerana tidak
pernah membanting tulang.

Berlandaskan hadis itu, lmam Muhammad Hasan As-Syaibaani dalam kitabnya, AI
lktisaab fil amril Musfathaab menyatakan bahawa kedudukan bekerja mencari
rezeki halal sama kedudukannya dengan mengambil wuduk sebelum melakukan
solat.

Usaha mencari rezeki untuk membeli pakaian demi menutup aurat adalah
kewajipan sebagaimana kewajipan menutup aurat ketika bersolat. Tetapi apakah
selama ini kita membeli pakaian untuk menutup aurat? Atau dengan bertambah
banyak wang, kita lebih sering ke butik untuk mencari pakaian yang mendedah
aurat?

Di tengah kegawatan ekonomi sekarang, sudah sewajarnya kita tidak hanya
pasrah pada keadaan, tetapi harus berusaha sekuat tenaga untuk keluar
daripada setiap kesulitan. Untuk itu kita perlu bekerja keras, memeras
keringat, meningkatkan produktiviti, mencari peluang dan tidak membuang masa
dengan kegiatan tidak produktif dan menghindari malas.

Kita wajib menggunakan waktu sebanyak mungkin untuk mencari pekerjaan dengan
niat setiap titisan keringat, sekelumit tenaga, Allah pasti membuka jalan
keluar terbaik daripada setiap kemelut penderitaan. Allah berfirman: "Setiap
kesulitan pasti ada jalan mudah." Tetapi laluan mudah dalam kehidupan tidak
mungkin diraih dengan bersantai dan bersifat malas, tetapi digarap dengan
kerja keras dan berusaha.

Rasulullah bersabda: "Antara dosa, ada dosa yang tidak dapat dihapus dengan
puasa dan solat." Sahabat Rasulullah yang mendengar ungkapan baginda
bertanya: "Jika demikian, amalan apakah yang dapat menghapusnya? Rasulullah
menjawab: "Dosa itu hanya dapat dihapus dengan pahala bekerja mencari
rezeki." Demikian hebatnya pahala mencari rezeki, pahala bekerja bagi
seorang Muslim sampai dapat menghapuskan dosa yang tidak terhapus oleh
amalan solat dan puasa.

Oleh itu, orang Muslim tidak sepatutnya malas bekerja, sebaliknya lebih
hebat dan rajin daripada orang Jepun, Korea, Taiwan dan Orang Putih. Amalan
bekerja kuat mendatangkan kebahagiaan di dunia dan pahala bagi kebahagiaan
di akhirat.

Sifat malas dan membuang masa adalah satu dosa dan kesalahan manakala
bekerja adalah amalan berpahala.
Rasulullah tidak pernah merendahkan pekerja (employee) dalam bentuk ungkapan
seperti apapun.
Istilah2 Kuadran yang dibuat Robert Kyosaki (dalam sudut pandang
entrepreneurship)
atau Maqom-maqom (pengkategorian) Para Ahli Hikmah (dalam sudut pandang
ibadah),
menurut pandangan saya, baik dijadikan motivasi dan mencoba berpikir
out-of-box,
tanpa menistakan apa-apa yang dihalalkan oleh Allah, seperti menjadi
"employee". :)
Halal, bah, Halal.. :))

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

Daftar Blog Saya